Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada Ebit Lew

Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada Ebit Lew

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di atas ucapan takziah pemergian bapanya baru-baru ini.

Ebit mengakui bersyukur dan bahagia mendapat mesej dan kata-kata semangat daripada Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Di saat teramat rindukan bapak dan mak sangat dapat surat titah takziah.

“Rasa bersyukur sangat. Menjunjung kasih Tuanku (Seri Paduka). Rasa bersyukur kerana Tuanku selalu memberi semangat dan doa selama ini.

“Bahagia dapat mesej kata semangat dan doa. Daulat Tuanku semoga Allah angkat Covid-19 dari negara kita dan pulihkan keadaan negara kita insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook.

Dalam hantaran sama, Ebit turut memuat naik surat titah ucapan takziah oleh Seri Paduka Baginda berdua yang bertarikh 15 Julai.

Surat tersebut ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Dalam surat itu, Seri Paduka berdua dan seluruh warga Istana Negara dengan penuh rasa dukacita menghulurkan salam takziah kepada Ebit sekeluarga atas pemergian bapa tercinta.

“Al Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta seluruh warga Istana Negara dengan penuh rasa dukacita menghulurkan salam takziah kepada ustaz sekeluarga di atas pemergian ayah tercinta Allahyarham Ibrahim Lew yang telah meninggal dunia pada 13 Julai 2021 lalu.

“Bersama-sama kita memohon ke hadrat Allah SWT agar dicucuri rahmat ke atas roha arwah dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh dan beriman. Istana Negara turut berdoa semoga ustaz dan seluruh ahli keluarga tenang dan tabah menghadapi dugaan yang berat ini,” titah Seri Paduka. – Malaysiapost

Komen