Azmeer sedia jelaskan kompaun pemuda ziarah kubur

Azmeer sedia jelaskan kompaun pemuda ziarah kubur

BEKAS pemain bola sepak Kedah, Azmeer Yusof sedia membantu menjelaskan kompaun RM2,000 yang dikenakan terhadap seorang lelaki yang menziarah kubur pada Aidiladha semalam.

Pemuda berusia 21 tahun itu dilaporkan dikompaun ketika datang bersama dua anak saudaranya ke Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 12 dan 13 di Jempol, bagi tujuan ziarah.

Azmeer yang terkenal dengan kerja-kerja dakwah turut mempersoalkan jumlah kompaun tersebut sedangkan Menteri Besar Kedah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) memandu uji kenderaan dikompaun RM1,500.

“MB KEDAH dikompaun RM1500, abang ni kena RM2000.

“Sesiapa kenal abang ni tolong beritahu saya. Insya-Allah saya tolong dia bayarkan RM2,000,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya sebentar tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata lelaki tersebut ditahan oleh pasukan khas pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara pada jam 11.40 pagi semalam.

Berikutan itu, kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Malaysiapost

Komen