Caprice live di IG 10 malam ini untuk jernihkan keadaan

Caprice live di IG 10 malam ini untuk jernihkan keadaan

PENYANYI rap, Caprice akan bersiaran langsung menerusi Instagram (IG), jam 10 malam ini.

Ia bagi menjernihkan keadaan selepas mencetuskan kontroversi membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew berhubung misi kemanusiaan di Gaza baru-baru ini.

Menerusi hantaran di IG Story, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 32, berharap kemelut tersebut akan pulih selepas kemunculannya menerusi IG Live, malam ini.

Beliau turut mengakui caranya salah, terlalu mengikut emosi dan perasaan marah.

“Saya berharap dapat tutup buku dan jalan terus ke depan. Saya bersalah sebab terlalu mengikut emosi dan marah.

“Cara saya tetap salah. Tidak mengapa, Islam mengajar kita untuk minta maaf jika melakukan kesilapan, maafkan orang. Jumpa anda di IG Live, malam ini,” tulisnya.

Selain itu, Caprice terkejut berikutan menerima banyak permintaan maaf dari netizen selepas Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri turut membuat teguran terhadap perkara itu menerusi saluran Telegram miliknya.

“Alamak, banyak sangat menghantar mesej langsung minta maaf secara tiba-tiba. Dengan hantaran ini, terus-terang, saya sudah memaafkan semua yang caci maki saya.

“Alhamdulillah, saya banyak belajar mengenai kesabaran, perjuangan dan Palestin sejak kisah saya tular,” katanya.

Dalam masa sama, Caprice meminta maaf kerana tidak mampu untuk membalas semua mesej diterima di laman sosialnya.

Beliau berharap selepas kemunculan dirinya malam ini, semua orang tidak terus menghangatkan lagi isu terbabit.

“Saya perlu tidur sekarang. Maaf, saya tidak dapat membalas semua mesej langsung, tetapi saya tetap membaca kesemuanya. Sekali lagi, saya berharap kita akan bergerak ke hadapan selepas kemunculan saya malam ini.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan dilakukan dan sangat bersyukur atas perjalanan ini. Saya tidak akan berhenti berjuang,” tulisnya. – Malaysiapost

Komen