Nafi tuduhan dan fitnah, Ebit Lew buat laporan polis

Nafi tuduhan dan fitnah, Ebit Lew buat laporan polis

“SAYA boleh sekelip mata menjawab segala pertuduhan itu,” kata pendakwah dermawan Ebit Lew.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik sahaja selesai membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilemparkan kepadanya yang tular di media sosial hari ini.

Bagaimanapun, Ebit menyerahkan kepada perundangan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda dirinya itu

Ustaz Ebit Lew

“Saya menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan ini, memang ianya tidak berasas sama sekali. Jadi saya telah buat laporan polis hari ini,” katanya.

Ebit menjelaskan, pada mulanya beliau tidak mengambil serius terhadap tuduhan berkenaan, namun apabila ahli keluarganya mula merasa sedih dan menangis menyebabkan beliau terpaksa tampil untuk membersihkan namanya mengikut saluran yang betul.

“Biasalah saya dah biasa kena ujian, fitnah macam ni, sejak dari kecil lagi. Tapi apabila anak saya menangis, isteri saya menangis bila mendengar kisah saya di Gaza, saya terpaksa mengambil tindakan ini.

“Selama ini pun saya tidak membalas segala kecaman, tuduhan sebab tak mahu ia berpanjangan. Tapi kali ini saya kena melakukan tindakan yang betul seperti ini kerana ia sudah melampau,” katanya.

Ustaz Ebit Lew

Isu misi kemanusiaan Ebit dan pasukannya di Gaza yang baru mulai reda selepas permohonan maaf oleh penyanyi rap, Caprice, hari ini hangat diperkatakan semula.

Spekulasi itu dibangkitkan kembali dengan teguran dari Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri melalui Telegramnya semalam.

Dalam pada itu Ebit memohon orang ramai supaya bertenang dan beliau akan membuat kenyataan terperinci dalam masa terdekat menerusi media sosial.

Dato Hasnal Rezua Merican

Ebit juga menyerahkan kepada peguam Datuk Hasnal Reza Merican dalam urusan yang berkaitan perundangan bagi pihaknya. -Malaysiapost

Komen