Pejuang pulau sidang Parlimen jika hanya beri taklimat biasa

Pejuang pulau sidang Parlimen jika hanya beri taklimat biasa

AHLI Parlimen Pejuang bersedia memulaukan sidang khas Parlimen bermula 26 Julai ini sekiranya platform berkenaan hanya menjadi sesi taklimat oleh kerajaan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata empat ahli parlimen parti itu termasuk dirinya setakat ini mengesahkan kehadiran namun keadaan terbabit boleh berubah.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu adalah bercanggah dengan undang-undang sekiranya sidang terbabit hanya menjadi satu ‘perjumpaan’ untuk memberi penjelasan kepada wakil rakyat.

“Kami memutuskan untuk hadir, tetapi kalau kami rasa ini hanya satu taklimat kami akan tinggalkan sidang atau perjumpaan itu.

“Pada mulanya mereka ingin mengesahkan pengisytiharan darurat, kenapa (baharu dibuat) sekarang? Pengisytiharan perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diluluskan.

“Namun, kita dikehendaki menerima pengisytiharan darurat ini seolah-olah telah disahkan lebih awal, jadi ini satu perkara tidak betul dari segi undang-undang,” katanya dalam sidang media secara maya di Facebook, hari ini.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu akan bersidang selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu turut menyifatkan sesi khas berkenaan hanya sekadar mengaburi mata rakyat bagi menunjukkan kerajaan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengadakan sidang parlimen secepat mungkin.

“Ini menunjukkan jelas bahawa kerajaan tidak ikhlas, dia tahu bahawa ini bukan persidangan Dewan Rakyat tetapi cuba untuk menunjukan kononnya ini adalah persidangan Dewan Rakyat mengikut titah Agong.

“Pihak parti Pejuang menganggap ini adalah satu pembohongan dan kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” tegasnya. – Malaysiapost

Komen