Suspek tak pakai pelitup muka, maki polis direman 4 hari

Suspek tak pakai pelitup muka, maki polis direman 4 hari

LELAKI yang memuatnaik video memaki hamun polis selepas dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka semalam, direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Muhammad Iskandar Zainol terhadap suspek berusia 29 tahun itu.

Terdahulu suspek dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah stesen minyak di Sri Damansara dan dia yang tidak berpuas hati kemudian membuat provokasi kepada pegawai polis bertugas.

Suspek juga membuat video secara langsung di Facebook mempertikaikan tindakan polis sambil mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan video berdurasi 15 minit 42 saat itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 188, 504, 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau juga mengesahkan suspek ditahan di rumahnya di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, jam 10 malam tadi.

“Ketika ditahan suspek turut membuat rakaman video,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost

Komen