Syed Saddiq rela masuk mahkamah daripada sertai PN

Syed Saddiq rela masuk mahkamah daripada sertai PN

“SAYA lebih rela masuk mahkamah daripada Perikatan Nasional,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengulas pertuduhan penyelewangan dana lebih RM1 juta yang bakal dihadapinya di Mahkamah Sesyen Rasuah Kuala Lumpur esok.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa beliau menerima ugutan politik untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak setahun lalu.

“Sudah lebih setahun saya telah diugut untuk didakwa jika tidak menyertai Perikatan Nasional.

“Setiap kali ada undian penting di Parlimen, ugutan akan datang. Pada bulan Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang,” katanya secara langsung di Facebooknya malam ini.

Syed Saddiq berkata, beliau tidak sesekali menggadaikan prinsip sejak hari pertama bergelumang dalam kancah politik.

“Berani kerana benar. Saya tidak akan menjual maruah dan prinsip kepada Perikatan Nasional.

“8.30 pagi saya akan ke mahkamah Kuala Lumpur diadili, dan pada 8 malam esok saya akan adakan sidang ‘live’ di Facebook dan Instagram untuk adakan pendedahan lanjut,” katanya.

Siasatan ke atas Syed Saddiq ini telah sejak Jun 2020 selepas beliau membuat laporan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dalam simpanannya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan wang yang hilang di rumahnya di Petaling Jaya itu adalah milik peribadinya dan ibu bapanya. – Malaysiapost

Komen