Amanah sedia khidmat guaman untuk Syed Saddiq – Mat Sabu

Amanah sedia khidmat guaman untuk Syed Saddiq – Mat Sabu

PARTI Amanah Negara (Amanah) bersedia memberikan khidmat guaman kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang kini berdepan pertuduhan di mahkamah.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata pihaknya yakin Ahli Parlimen Muar itu akan dibela oleh pasukan peguam yang hebat.

Berikutan berita @SyedSaddiq akan didakwa. Saya tidak pasti adakah ia tuduhan yang benar atau tekanan politik menjelang sidang parlimen.

“Saya yakin beliau akan dibela oleh pasukan peguam yang hebat. Amanah akan bersama memberikan khidmat guaman buat beliau,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu hari ini Syed Saddiq mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Muar itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, pada 6 Mac 2020, yang ketika itu berjawatan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana berjumlah RM1 juta.

Beliau membuat pengeluaran dana itu melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur. – Malaysiapost

Komen