Apakah rasional buka sekolah 1 September? – Maszlee

Apakah rasional buka sekolah 1 September? – Maszlee

BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempersoalkan perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuka semula sekolah di seluruh negara bermula 1 September 2021.

Maszlee berkata KPM di bawah kepimpinan Menteri Kanan, Datuk Radzi Jidin dan dua timbalannya masih membuat keputusan ‘pukul rata’ untuk semua sekolah di seluruh negara, tanpa mengemukakan data saintifik dan mengambil kira perbezaan keperluan antara sekolah di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Beliau memaklumkan telah dihubungi ramai pihak, sama ada golongan pendidik, pengurusan dan ibu bapa berhubung keputusan tergesa-gesa KPM yang menzahirkan kerisauan mereka berkaitan beberapa perkara.

Antaranya, kes jangkitan baru dan tahap kematian akibat Covid 19 masih berada pada tahap tinggi iaitu lima angka selama berminggu-minggu dan akan mengambil masa untuk turun dan stabil rendah.

“Hari persekolahan sehingga akhir tahun 2021 berbaki hanya dua bulan sahaja lagi untuk tamat. Keputusan membuka persekolahan akan melibatkan persiapan anak-anak untuk ke sekolah semula.

“Ini memerlukan kos tambahan dan keputusan ini menyusahkan ramai ibu bapa yang masih bergelut dengan keadaan ekonomi tidak menentu khususnya kategori B40 dan mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata KPM hanya mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 1 September tanpa membentangkan secara perincian gerak kerja lengkap prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan diyakini berkesan berdasarkan sains dan data.

Katanya, ramai ibu bapa dan guru bimbang pengumuman kali ini akan mengulangi kesilapan pembukaan sekolah pada April lalu sehingga banyak sekolah akhirnya terpaksa ditutup selepas dua minggu dibuka.

“Akibatnya, pembelajaran anak-anak lebih terganggu akibat keputusan KPM yang ‘flip flop’ ini.

“Ramai guru juga tertanya-tanya mengapakah KPM perlu tergesa-gesa mengumumkan pembukaan sekolah pada 1 September sedangkan JPN, PPD dan guru telah melakukan banyak penambahbaikan PdPR sepanjang 16 bulan lalu dan keputusan SPM 2020 menunjukkan jelas PdPR boleh dilaksanakan.

“Ramai ibu bapa merasakan apakah rasionalnya keputusan KPM sedangkan program agihan 150,000 komputer masih belum selesai untuk membantu murid miskin,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, ramai guru dan ibu bapa boleh bersikap rasional untuk bersetuju sekolah dibuka semula dengan beberapa syarat antaranya KPM mesti membentangkan terlebih dahulu SOP khas untuk pelajar kategorikan non vaksin di dalam kawasan sekolah dan di luar kawasan sekolah berdasarkan sains dan data.

Selain itu, katanya, KPM perlu selesaikan proses vaksinasi kepada semua guru dan pekerja sekolah tanpa terkecuali selain Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi kepada pelajar kelas peperiksaan secara sukarela.

“Ramai ibu bapa yang boleh bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan anak-anak ini kembali ke sekolah jika anak-anak mereka telah menerima vaksin.

“Hanya murid yang ahli keluarga mereka telah divaksin (sekurang kurangnya dos pertama) sahaja dibenarkan ke sekolah untuk elakkan wujud kluster sekolah,” katanya. – Malaysiapost

Komen