Barang peribadi pesakit Covid-19 hilang telah ditemui

Barang peribadi pesakit Covid-19 hilang telah ditemui

ISU kehilangan barang peribadi milik seorang pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia di Hospital Ampang, sudah selesai.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebooknya yang memaklumkan barangan tersebut telah ditemui dan akan diserahkan kepada waris mangsa.

“Maklum Balas daripada Hospital Ampang mengenai isu kehilangan barangan peribadi yang tular di media sosial.

“Barang peribadi tersebut telah pun dijumpai dan akan dituntut oleh pihak waris (kemaskini jam 10.45 pagi). Alhamdulillah,” tulis KKM.

Semalam, Hospital Ampang menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya akan menyiasat isu tular di media sosial berhubung kehilangan barang peribadi pesakit di wad hospital berkenaan.

Terdahulu semalam, pengguna akaun Twitter Tira Sahar memuatnaik ciapan memaklumkan barangan peribadi milik arwah bapanya yang dirawat di Hospital Ampang hilang.

Katanya, selepas puas mencari, hanya telefon bimbit milik arwah bapanya ditemui namun barangan lain tidak dijumpai.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis kerana kehilangan turut melibatkan kad pengenalan arwah bapanya. – Malaysiapost

Komen