Barang sumbangan dari pasukan Ebit Lew sudah masuk Gaza

Barang sumbangan dari pasukan Ebit Lew sudah masuk Gaza

BARANGAN sumbangan dibeli pendakwah, Ebit Lew di Kaherah untuk penduduk Gaza dilaporkan sudah dibawa masuk ke wilayah bergolak itu untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

Perkembangan itu dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Menurut Nadir, rakannya telah berkongsi maklumat bahawa barangan sumbangan itu telah dibawa masuk pada hari pertama Aidiladha bersama 300 tan bantuan lain.

“Alhamdulillah dan tahniah. Ini yang kita mahukan, maklumat tentang bantuan yang disampaikan. Buat apa nak dengki dan iri hati sebab bantuan ini akan sampai kepada jiran saya, malah mungkin kaum kerabat saya sendiri di sini.

“Satu persoalan dah terjawab, lepas ni kita tunggu jawapan kepada persoalan lain juga. Tahniah sekali lagi,” katanya.

Difahamkan, barangan tersebut dibawa dari Mesir melalui Bulan Sabit Merah Mesir dan diuruskan pengagihannya di Gaza oleh Bulan Sabit Merah Palestin.

Nadir yang menetap di Gaza turut berkongsi pautan hantaran di Facebook Bulan Sabit Merah Mesir yang menyalurkan barangan berkenaan.

Terdahulu semalam, Nadir menulis berdasarkan pengalaman sendiri, dia terkejut apabila pasukan Ebit membeli barangan bantuan sebanyak empat lori di Mesir, sedangkan lebih baik dibeli di Gaza sekali gus dapat membantu peniaga di sana.

“Sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada media cara terbaik untuk beri bantuan ke Gaza adalah dengan pembelian barangan keperluan di pasaran tempatan kerana terdapat banyak kebaikan boleh dimanfaatkan terus kepada masyarakat yang memerlukan.

“Telah banyak pengalaman NGO seluruh dunia cuba untuk memasuki Gaza dengan membawa barangan keperluan hingga tersadai dan terbiar di sempadan dalam bentuk perubatan dan makanan sehingga tamat tempoh dan tidak boleh digunakan.

“Akhirnya berlaku pembaziran amat dahsyat. Perkara ini menjadi pengajaran kepada semua NGO bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia,” katanya. – Malaysiapost

Komen