Bezakan antara ”salah kerana solat” dengan salah lakukan jenayah

Bezakan antara ”salah kerana solat” dengan salah lakukan jenayah

TIBA masa polis menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) penahanan suspek bagi membezakan antara kes ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana solat dengan kes jenayah.

Perkara itu disarankan bekas menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan penahanan 49 lelaki kerana solat Aidiladha berjemaah di Juru, Pulau Pinang, kelmarin.

Ahli Parlimen Kulim – Bandar Bharu itu berkata beliau memahami kesalahan yang dilakukan namun sedih dan terguris hati melihat 49 individu tersebut dilayan seperti pelaku jenayah.

“Solat sunat Aidiladha di surau Juru, jemaah melimpah dan dianggap melanggar SOP ketika kes Covid-19 terus sukar dikawal.

“Tidak kita persoal mereka “bersalah”. Namun sedih dan terguris hati bilamana 49 orang yang terlibat digari, dipakaikan baju oren dan berkaki ayam persis pelaku jenayah saat dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam dengan lori polis.

“Sementara kita faham polis menjalankan tugas kini tiba masa SOP polis juga mungkin perlu disemak kembali. Membezakan antara yang”salah kerana solat” dengan salah kerana kes jenayah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam 49 lelaki dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar pekarangan Surau Taman Pelangi di Juru, kelmarin, direman bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek terdiri 48 warga Bangladesh berusia 20 hingga 43 tahun direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Julai.

Manakala, seorang warga tempatan berusia 64 tahun direman tiga hari bermula hari ini hingga 23 Julai bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Kelmarin, polis melancarkan gerakan mengesan kira-kira 200 warga asing selepas dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat di luar pekarangan surau terbabit hingga ia tular di media sosial. – Malaysiapost

Komen