Keluarkan orang politik dari Tabung Haji – Anwar

Keluarkan orang politik dari Tabung Haji – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim membantah keputusan kerajaan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) dengan alasan menambahbaik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.

Presiden PKR itu berkata keputusan itu menggusarkan kerana kerana bidang tugas, tanggungjawab dan keutaamaan BNM berbeza besar berbanding TH.

Beliau menambah, tanggungjawab BNM ialah mengurus sistem kewangan dan mengambil alih beberapa institusi jika berlaku pelanggaran risiko kepada pendeposit.

“Kalau ada masalah pengurusan, mustahil tiada orang yang layak menguruskan TH, jutaan orang di Malaysia tiada seorang pun yang layak? “Apa yang menjadi masalah ialah canmpur tangan politik, keluarkan orang politik daripada Lembaga TH.

“Kalau ada yang salah (urus tadbir) berdasarkan beberapa laporan polis, ambil tindakan. Kemudian lantik pengurus yang mampu kendalikan TH dengan baik,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kerajaan bersetuju meletakkan TH di bawah kawal selia BNM bagi menambahbaik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.

Jelasnya, keputusan itu dibuat bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan standard tadbir urus yang baik.

Tengku Zafrul berkata pemantauan dan kawal selia oleh BNM merupakan komponen penting dalam usaha memperkasakan TH sebagai sebuah institusi Islam yang lebih berdaya tahan di dalam ekosistem kewangan negara.

Sementara itu, Anwar berkata, berdasarkan pengalamannya ketika menjadi Menteri Kewangan, ada pegawai dari Kewangan Kewangan berada dalam Lembaga TH yang boleh memberi nasihat serta memantau perjalanan institusi itu.

“Saya nak nak tekankan, berdasarkan pengalaman ia boleh diurus, lantik individu berwibawa dan jangan izinkan orang politik berkepentingan campur tangan.

“Tak perlu sama sekali BNM ambil alih, kerana banyak urusan BNM belum selesai, termasuk isu moratorium kepada rakyat, jadi jangan bebankan lagi BNM,” katanya. – Malaysiapost

Komen