Pasti ada nama baharu sertai “hall of fame”

Pasti ada nama baharu sertai “hall of fame”

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin akan ada nama baharu dalam kalangan atlet negara bakal berada dalam senarai “hall of fame” pemenang pingat Olimpik untuk Malaysia.

Malaysia pada Olimpik kali ini, akan diwakili 30 atlet yang bakal beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan, dengan matlamat utama kekal untuk merangkul pingat emas pertama buat negara.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Reezal Merican mengajak rakyat Malaysia mengenang kembali detik kebanggaan negara sesama atlet Malaysia membawa pulang pingat Olimpik ke tanahair.

“Bahang Sukan Olimpik kian terasa. Hanya berbaki tiga hari lagi, temasya sukan yang paling gemilang bakal membuka tirainya.

“Mari kita ambil sedikit masa untuk mengenang kembali detik-detik kebanggaan negara sewaktu atlet kontinjen Malaysia membawa pulang pingat ke tanahair.

“Jalani Sidek, Razif Sidek, Rashid Sidek, Cheah Soon Kit, Yap Kim Hock, Lee Chong Wei, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang – ingat nama-nama pejuang sukan Malaysia ini.

“Dan yang pastinya… akan ada nama baharu yang bakal sertai “hall of fame” ini,” katanya.

Reezal Merican berkata, setelah sekian lama membuat persiapan, peminat bakal disajikan dengan aksi hebat para atlet negara tidak lama lagi.

“Tentu sekali ramai yang berasa ghairah tentang pingat yang akan dibawa pulang nanti. Sama-sama kita doakan keselamatan mereka yang kini sedang menjalani persiapan akhir di Tokyo.

“Jangan sesekali putus asa. Impian ini, impian kita semua. Impian generasi baru kita. Impian negara Malaysia,” katanya lagi.

Temasya sukan terbesar dunia itu bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini. – Malaysiapost

Komen