PDRM kesan sindiket perdaya mangsa isu penjualan vaksin Covid-19

PDRM kesan sindiket perdaya mangsa isu penjualan vaksin Covid-19

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan sindiket yang menggunakan isu penjualan vaksin Covid-19 untuk memperdayakan orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata antara lain modus operandi digunakan sindiket ialah menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, anggota sindiket seterusnya memaklumkan bahawa mangsa akan dikenakan tindakan kerana telah didapati menjual vaksin Covid-19 secara dalam talian melalui laman Facebook.

“Mangsa yang panik dengan dakwaan tersebut kemudian akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga akhirnya membuat bayaran ke akaun yang diberikan pihak sindiket.

“Sehingga kini 38 laporan polis telah diterima berkaitan kes-kes sebegini melibatkan kerugian berjumlah RM54,500,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Kamarudin menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket.

“Sindiket ini mengambil kesempatan dengan memanipulasi isu semasa untuk mengaut keuntungan cara yang salah.

“Polis mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 0326101559 / 1599 sekiranya mempunyai sebarang keraguan atau maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersial,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata JSJK setakat ini menerima empat laporan polis berkaitan isu vaksin Covid-19.

Katanya, tiga laporan tersebut berkaitan dakwaan wujud aktiviti penipuan penjualan vaksin Covid-19 kepada orang awam, manakala satu lagi berkenaan isu penambahan jumlah penerima vaksin di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga melebihi jumlah dibenarkan.

“Sehingga kini, seramai lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan. Kesemua mereka telahpun dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan dijalankan.

“Satu daripada siasatan kes tersebut telah selesai dan pihak Jabatan peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan selepas mendapati tiada bukti serta keterangan mencukupi untuk menuduh suspek yang terlibat.

“Baki tiga lagi kertas siasatan masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen