Pecah amanah: Syed Saddiq mengaku tidak bersalah

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, pada 6 Mac 2020, yang ketika itu berjawatan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana berjumlah RM1 juta.

Beliau membuat pengeluaran dana berkenaan melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur.

Syed Saddiq didakwa melakukan Kesalahan itu di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Beliau diwakili peguam Gobin Singh Deo.

Terdahulu, Syed Saddiq tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengikut pertuduhan, beliau antara 8 hingga 21 April 2018 secara curang menyalahguna wang sumbangan untuk PRU14 berjumlah RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, dan sebat serta denda.-Malaysiapost

Komen