Pemuda dikompaun di kubur sebenarnya bawa anak saudara ‘ziarah’ arwah ibu

Pemuda dikompaun di kubur sebenarnya bawa anak saudara ‘ziarah’ arwah ibu

PEMUDA berusia 21 tahun yang dikompaun menziarah kubur pada Aidiladha pertama kelmarin, sebenarnya membawa dua anak saudaranya yang masih kecil melepaskan rindu di pusara ibu mereka.

Cerita sedih itu dikongsi bekas pemain bola sepak Kedah, Azmeer Yuof yang menghubungi pemuda itu semalam, sejurus kisahnya dikompaun dilaporkan media serta tular di media sosial.

“Tahu kenapa adik tu bawa dua anak buahnya ke kubur? Kerana anak buah beliau dua orang tu di pagi raya Aidiladha bertanyakan pada beliau ‘Mama, Mama’.

“Korang rasa perasaan beliau ketika itu yang dengar perkataan mama dari dua orang anak kecil? Korang rasa perasaan beliau sebagai bapa saudara kepada dua orang anak kecil?

“Sumpah saya juga akan lakukan perkara sama seperti beliau seandainya perkataan mama keluar dari mulut anak yatim. Allahurabbi,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam Azmeer memaklumkan beliau sedia membantu menjelaskan kompaun RM2,000 yang dikenakan terhadap pemuda tersebut.

Pemuda itu dilaporkan dikompaun ketika datang bersama dua anak saudaranya ke Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 12 dan 13 di Jempol, bagi tujuan ziarah.

Sementara itu, Azmeer turut berkongsi bahawa kompuan dikenakan terhadap pemuda tersebut telah dijelaskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, jam 12.30 tengah hari semalam beliau menghubungi pemuda tersebut dan memintanya berhubung dengan Pejabat Kesihatan bagi tujuan membuat pembayaran kompaun.

“Selepas jam 2 petang, adik tu terus ke Pejabat Kesihatan. Kemudian JKM tunggu adik tu di Pejabat Kesihatan untuk mendengar sama apa yang boleh dibantu.

“Selesai perbincangan antara tiga pihak, akhirnya JKM tersebut menyatakan ingin membayar kompaun yang sudah diberi diskaun sebanyak 50 peratus.

“Jadi adik tu pun terus hubungi saya beritahu JKM nak bayarkan. Saya cakap tiada masalah siapa pun yang bayarkan, janji selesai segalanya. Alhamdulillah selesai semuanya untuk pihak adik itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen