Pentingnya orang tengah untuk misi kemanusiaan – MB Kedah

Pentingnya orang tengah untuk misi kemanusiaan – MB Kedah

SETIAP misi kemanusian di luar negara mempunyai cabaran dan pengalaman berbeza, berdasarkan latar belakang negara, kategori bencana, situasi semasa di lokasi, ragam manusia, pihak berkuasa dan keadaan geopolitik di negara berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata paling utama adalah urusan dokumentasi membabitkan kedua-dua negara perlu diselesaikan lebih awal sebelum misi kemanusiaan dijalankan.

Berkongsi pengalamannya yang pernah melaksanakan beberapa misi kemanusiaan bersama PASRelief termasuk ke Gaza, Palestin pada 2019, beliau menegaskan orang perhubungan di negara yang ingin dilaksanakan misi adalah antara faktor utama memastikan dana yang dibawa hasil sumbangan orang ramai sampai tepat pada sasaran.

Beliau berkata, pasukannya berhubung dengan saudara Nadir An Nuri sejak awal lagi, bertanya dan memaklumkan keperluan utama di sana, supaya beliau dapat bantu apa saja keperluan atas kapasiti beliau dan pengalaman menguruskan dana kemanusiaan.

“Pertama sekali peserta rombongan perlu menyediakan sendiri perbelanjaan tiket penerbangan, penginapan, makan minum dan belanja kecemasan sepanjang misi. Tiada wang untuk belanja asas ini, tidak boleh ikut.

“Kedua perlu dinyatakan jumlah dana yang berjaya dikutip, jumlah yang dibawa dan kos program yang dirancang untuk dilaksanakan.

“Ketiga perlu dipastikan orang perhubungan kita di lokasi adalah warga tempatan atau rakan kerjasama sama ada pertubuhan atau individu yang boleh dipercayai, berpengalaman dan mempunyai rekod yang baik menguruskan bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pasukan misi kemanusiaan perlu berhati-hati dengan orang perhubungan kerana banyak kes sebelum ini yang bantuan tidak sampai sepenuhnya kepada penerima.

“Bangladesh adalah bumi yang ramai melahirkan tokoh ‘industri kemanusiaan’ (humanitarian industry)- mereka kaya pelarian melarat. Ramai yang terkena dengan tokoh-tokoh itu, dan dana mungkin hangus separuh atau lebih besar daripada itu.

“Hal ini boleh diperiksa dengan rakan-rakan dari seluruh dunia yang pernah melakukan misi kemanusiaan sebelum ini. Pengalaman pihak lain adalah pasport untuk keselamatan dana, menjimatkan belanja dan masa kepada kita,” katanya.

Menurutnya, dalam misi ke Gaza, pasukannya terkandas di Mesir selama lapan hari, tetapi setiap peserta berikhtiar pelbagai kaedah dan jalan yang munasabah termasuk ada pihak yang menawarkan bantuan untuk masuk ke Gaza.

“Tetapi harus membayar kos tertentu USD10,000 seorang peserta. Kami menolaknya kerana tidak ada biaya untuk tujuan itu. Kami khuatir ia bukan untuk penduduk Gaza tetapi untuk pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya kemudian ditemukan dengan Perdana Menteri pihak berkuasa Gaza, Prof Dr Muhammad Awad, yang menyusup keluar menemui mereka di satu ‘safe house’ di satu lokasi.

“Katanya jangan update apa-apa di media sosial sehingga dia berjaya masuk semula Gaza. Dana itu bertukar tangan dan kami berangkat pulang ke Malaysia pada hari kesembilan,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di Malaysia, pasukannya menerima gambar dan video majlis pengagihan dana yang diserahkan sebelum mamaklumkannya kepada media tentang perjalanan dan prosesnya.

Katanya, misi ke Gaza, Palestin, Nadir An-Nuri adalah rujukan utama yang patut didahulukan kerana dia benar- benar memahami situasi di kedua-dua lokasi dan manusianya (penyumbang dan penerima). – Malaysiapost

Komen