‘Welcome to Kluster Mahkamah Syed Saddiq’ – Najib

‘Welcome to Kluster Mahkamah Syed Saddiq’ – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini secara sinis mengalu-alukan ‘penyertaaan’ Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke dalam Kluster Mahkamah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian susulan kes pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta yang dihadapi Syed Saddiq hari ini.

Najib berkata, kes Syed Saddiq itu mengingatkan beliau mengenai kes pecah amanah membabitkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Eh… bila terbaca bekas Menteri terlibat, ingat Xavier dengan kes RM78 juta dia. Ataupun MP Masjid Tanah dengan MP Jeli. Rupanya bukan depa,” katanya dalam hantaran Facebook.

Dalam apa itu, Najib secara sinis berkata beliau dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sudah lama menunggu Syed Saddiq.

“Apapun, welcome to kluster mahkamah. Guan Eng dan saya dah lama tunggu. Silap-silap, Guan Eng masuk PN (Perikatan Nasional) nanti. Mana tahu?,” katanya.

Hari ini, Syed Saddiq Abdul Rahman yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Syed Saddiq membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, pada 6 Mac 2020, yang ketika itu berjawatan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana berjumlah RM1 juta.

Beliau membuat pengeluaran dana berkenaan melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur.

Syed Saddiq didakwa melakukan Kesalahan itu di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Semalam, Syed Saddiq mendakwa tidak gentar sebaliknya memberi gambaran beliau bersiap sedia untuk menghadapi sebarang pertuduhan jenayah terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. – Malaysiapost

Komen