Annuar pertahan tindakannya ziarah kubur

Annuar pertahan tindakannya ziarah kubur

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mempertahankan tindakan menziarahi tanah perkuburan ahli keluarganya hari ini tidak melanggari prosedur operasi standard (SOP).

Kenyataan tersebut berhubung kait dengan hantaran komen pemilik akaun Facebook Mohamad Azroy yang mendakwa mujur Annuar bergelar menteri kerana jika tidak beliau akan dikenakan kompaun atas kesalahan ingkar SOP.

“Mujur Tan Sri ini menteri, kalau rakyat biasa dah kena kompaun serupa kes di Felda Palong itu hari. Tak apa Tan Sri ada duit boleh bayar kompaun tak banyak mana,” komen pemilik akaun itu.

Sebagai balasan bagi komen itu, Annuar berkata pemilik akaun itu salah faham dengan SOP ketika Hari Raya Aidiladha, yang tidak membenarkan aktiviti melawat tanah perkuburan dan kunjung mengunjung.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kerteh berkata, larangan ketika Aidiladha adalah berbeza dengan SOP semasa beriadah yang dibenarkan kerajaan.

“Demo (kamu) baca SOP mana.. SOP hari raya ya? Iya dah tu.. larangan masa Aidiladha.. bukan masa riadah yang dibenarkan.

Annuar dalam hantaran Facebook itu memberitahu sedang dalam ‘morning walk’ dan melintas di tanah perkuburan di mana bersemadi ahli keluarganya.

“Morning walk hari ini melintasi tanah perkuburan di mana bersemadinya bonda dan kakak kakak tercinta.

“Tidak dapat tidak, singgah memberi salam dan tahlil ringkas, semoga Umi, Abuya, kekanda kekanda serta muslimin muslimat di ampuni Allah SWT serta semoga mereka di beri tempat di jannah bersama orang orang yg beriman… Al-Fatihah,” tulisnya di hantaran itu.

Sebelum ini, seorang lelaki yang menziarah kubur pada Aidiladha pada 20 Julai lalu dikompaun RM2,000 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemuda berusia 21 tahun itu bersama dua anak saudaranya ke Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 12 dan 13 di Jempol bagi tujuan ziarah. – Malaysiapost

Komen