Shafie berharap Agong, Majlis Raja-Raja ambil tindakan segera

Shafie berharap Agong, Majlis Raja-Raja ambil tindakan segera

Najamuddin Mohd Nor

PRESIDEN Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berasa kesal susulan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan Sidang Khas Parlimen pada Isnin ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tindakan itu adalah helah kerajaan untuk mengelak perbahasan Ordinan Darurat dilakukan di Dewan Rakyat seperti yang dititahkan oleh Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

“Saya berharap Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja perlu ambil tindakan segera untuk memastikan perjalanan undang-undang negara ini tidak boleh dibiarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

“Itulah helahnya, pasal apa dari hari pertama tak perlu ada undi, sudah jelas. Ini pun mereka tahu bahawa kemungkinan akan ada beberapa usul yang mereka dah tolak daripada peringkat awal untuk membolehkannya (kekalkan kuasa).

“Peralihan kerusi pun dah jelas, dah tak cukup dari segi jumlah yang ada,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, tindakan kerajaan menggunakan alasan Covid-19 untuk membatalkan sidang Dewan Rakyat pada Isnin ini boleh dipertikaikan.

Katanya, semua Ahli Parlimen telah beberapa kali disaring ujian Covid-19 termasuk yang terbaru pada Khamis lalu di bangunan Parlimen.

“Tengah bersidang pun pada hari Khamis, kita pun di lockdown di dalam dewan, sehari suntuk dari pagi sampai ke petang, hampir jam enam baru kita dibenarkan balik, di pertengahan itu kita buat testing dan kita negatif.

“Satu dua saya tahu positif contohnya Datuk Seri Zahid, tapi dia dari hari pertama dia tak hadir, Ahli Parlimen yang positif pun tak hadir, kalau pun ada pegawai-pegawai Parlimen yang didapati positif mereka itu bukan ada hak untuk berada di dewan persidangan itu. Tapi kami 220 memang ada hak.

“Petang itu tak seorang pun antara kami yang positif. Semuanya negatif. Saya kesal dan ini menunjukkan satu kerajaan yang gagal. Kita menggunakan kuasa perjalanan undang-undang tak berfungsi sebaik mungkin. Dan ini membimbangkan,” katanya.

Shafie turut menyindir gelagat Ahli Parlimen PN yang tidak risau ancaman Covid-19 kerana berhimpun di kediaman Perdana Menteri berbanding di Dewan Rakyat.

” Kalau kita biarkan negara ini diurus macam ini tak tahu apa lagi tindak-tanduk yang akan dilakukan mereka dengan menggunakan hanya kuasa yang ada pada mereka tutup Parlimen.

“Tak boleh bersidang tapi sidang di rumah Perdana Menteri beratus orang yang hadir tak jadi masalah. Tak dikawal merebak penyakit, berjumpa di situ dengan menteri-menteri boleh, tapi di Parlimen yang begitu terkawal, yang kita gunakan SOP tak boleh dan janganlah guna alasan Covid-19 nak tutup Parlimen,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Sidang Khas Parlimen pada Isnin ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Ia selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi surat bertarikh hari ini yang diedarkan kepada Ahli Parlimen.

Menerusi surat tersebut, dinyatakan penangguhan tersebut selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost

Komen