Tak wajar ambil kesempatan, cuba menangguk di air keruh – Mahdzir Khalid

“USAH menangguk di air keruh”. Demikian seruan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada semua ahli politik khususnya pihak pembangkang agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi yang sedang melanda kerajaan dan institusi diraja bagi mengelak keadaan terus berpanjangan.

Menurutnya, ahli politik seharusnya berganding bahu dalam menangani isu berkaitan pandemik Covid-19 dan membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas ketika ini.

“Mana-mana pihak tidak wajar mengambil kesempatan atas situasi ini dan cuba ‘menangguk di air keruh’ serta membiarkan krisis ini berpanjangan.

“Sepatutnya apabila tahu apa sedang berlaku, kita buat sesuatu yang boleh menjadikan keadaan kembali baik dan tumpu urusan menyelesaikan masalah pandemik dan isu berkaitan rakyat,” katanya hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut ketika sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Padang Terap hari ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, semua pihak tidak sepatutnya membiarkan krisis tersebut berlarutan dan perlu menggembleng tenaga dan usaha dengan penuh komitmen bersama kakitangan kerajaan serta barisan hadapan.

Mengulas lanjut berkenaan situasi politik negara sekarang, Mahdzir berkata, beliau dan Ahli Parlimen Umno secara keseluruhan sentiasa akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam apa juga situasi yang berlaku di negara ini.

“Kita akur dengan titah Tuanku kerana ia adalah asas kepada perjuangan Umno yang turut terkandung dalam Perlembagaan Umno iaitu parti menjunjung institusi diraja.

“Keutamaan kita hari ini adalah bagaimana kerajaan dan ahli politik boleh memastikan krisis dan urusan berkaitan pandemik dapat digembleng penuh komitmen bersama kakitangan kerajaan serta barisan hadapan,” katanya lagi.

Berikutan itu, jelasnya, terdapat kewajaran bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dipertahankan seperti yang diputuskan secara bersama pada pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Khamis lalu. – Malaysiapost

Komen