Terharu usaha Agong jelaskan isu Istana Negara-kerajaan PN

Terharu usaha Agong jelaskan isu Istana Negara-kerajaan PN

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii hari ini mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan terharu atas usaha baginda menjelaskan isu yang terjadi antara Istana Negara dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Razlan menerusi satu surat kepada Al-Sultan Abdullah melahirkan penghargaan kepada Majlis Raja-Raja yang mendengar suara dan kebimbangan rakyat atas rentetan krisis politik negara tidak stabil di tengah penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kesungguhan Yang di-Pertuan Agong menggesa supaya kerajaan berusaha mencari jalan membawa rakyat keluar dari permasalahan kehidupan, sosial, ekonomi dan kesihatan amat melegakan semua pihak khususnya rakyat yang bergelut dengan sumber pendapatan tidak menentu.

“Menerusi warkah Istana Negara yang patik dan sekalian rakyat yakin bahawa kandungan di dalam surat tersebut merupakan gambaran sebenar isi hari Tuanku. Patik percaya Tuanku dan Majlis Raja-Raja telah menjalankan tanggungjawab sebagai payung yang menaungi rakyat dan tidak sesekali terpalit dengan kegagalan kerajaan hari ini.

“Rakyat sekarang memahami bahawa darurat yang Tuanku zahirkan dalam pewartaan, ia datang dari kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukannya kehendak Tuanku malah Tuanku tidak mempunyai bidang kuasa untuk menolak mengikut tafsiran Perdana Menteri.

“Rakyat juga mengerti, faham dan beranggapan bahawa tindakan Istana Negara menitahkan agar pemimpin-pemimpin parti politik dan pakar-pakar menghadap Tuanku sebelum Majlis Raja-Raja bermesyuarat pada 16 Jun lalu secara jelas berkaitan kegagalan kerajaan yang buntu mencari formula terbaik dalam menurunkan kadar jangkitan Covid-19,” katanya.

Mohd Razlan berkata, beliau bersedih dan marah ketika membaca warkah Istana Negara semalam yang Perdana Menteri sepatutnya akur dan patuh terhadap titah Seri Paduka.

Bagaimanapun, katanya, segala titah yang dizahirkan Seri Paduka diketepikan seolah-olah fungsi dan peranan Raja Melayu yang berdaulat tidak dipandang oleh kerajaan.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membaca ikrar sumpah taat setia menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri di hadapan Tuanku, namun amanah tersebut disia-siakan begitu sahaja.

“Kepercayaan yang diberi, penderhakaan pula yang dibalas. Malangnya, suara Istana Negara diketepikan dalam soal pertimbangan sepatutnya untuk saling bekerjasama memperkasakan rakyat.

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun,” katanya lagi.

Isnin lalu, ketika hari pertama Sidang Khas Parlimen, Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Proklamasi Darurat dimansuh dan enam Ordinan Darurat terbatal pada 21 Julai lalu.

Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu menzahirkan rasa amat dukacita terhadap tindakan pemansuhan Proklamasi Darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat yang tidak mendapat perkenannya. – Malaysiapost

Komen