Tidak perlu buat perhimpunan atas alasan suara rakyat – TPM

Tidak perlu buat perhimpunan atas alasan suara rakyat – TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak perlu untuk mana-mana pihak mengadakan protes jalanan dengan alasan untuk menyampaikan suara rakyat.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat walau dalam apa jua bentuk platform termasuk media sosial.

Katanya, dirinya sendiri menerima banyak cadangan daripada rakyat melalui pesanan aplikasi WhatsApp.

“Kita dengar suara rakyat dari mana-mana. WhatsApp pun kita dengar. Saya setiap hari dapat cadangan daripada rakyat melalui pesanan WhatsApp.

“Setiap pandangan kita beri perhatian. Pelan Pemulihan Negara (PPN) kita bentang di Parlimen untuk dapat pandangan tambah baik. Tidak perlu sampai ke jalanan,” katanya selepas meninjau operasi pemberian vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil serta Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan individu mengadakan protes di kawasan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di ibu negara kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ismail Sabri berkata, tindakan kumpulan terbabit merupakan satu kesalahan di bawah Akta 342 untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Jelasnya, sebarang bentuk perhimpunan tidak dibenarkan pada waktu pandemik Covid-19 ketika ini.

Hampir 200 peserta perhimpunan keluar dan #lawan berhimpun berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

Himpunan yang dipercayai diadakan bagi meluahkan tidak puas hati terhadap kerajaan dan mendesak agar Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet meletak jawatan. – Malaysiapost

Komen