MAIS seru semua pihak termasuk bukan Islam hormati bacaan al-Fatihah

MAIS seru semua pihak termasuk bukan Islam hormati bacaan al-Fatihah

SEMUA pihak termasuk orang Islam atau bukan Islam diseru supaya sentiasa menghormati Islam sebagai agama Persekutuan seperti bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran sama ada dalam majlis rasmi atau majlis tidak rasmi.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata perkara itu perlu diberi lebih penekanan.

Menurutnya, terutama apabila bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran dilaksanakan khusus kepada umat Islam yang telah meninggal dunia seperti kematiannya akibat daripada pandemik Covid-19, kemalangan dan sebagainya.

“Dalam Islam turut mengajarkan hormat menghormati di antara satu sama lain adalah sangat penting dalam tuntutan memuliakan, menghormati dan berkasih sayang sesama manusia.

“Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud ‘Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.’ Riwayat al-Bukhari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di Malaysia, amalan dan budaya masyarakat yang saling hormat menghormati dan hak kebebasan untuk beragama serta mengiktiraf Islam sebagai agama negara perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam memastikan talian persaudaraan terus utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan bangsa.

Menurutnya, situasi hormat menghormati ini seiring dengan Rukun Negara yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan.

“Oleh itu, saya mewakili pihak MAIS menyeru sekali lagi kepada semua masyarakat di Selangor khususnya dan Malaysia amnya sentiasa menghormati agama Islam serta mengurangkan perkara yang melibatkan sensitiviti dan perpecahan rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” katanya.

Pada Sidang Khas Dewan Rakyat 26 Julai lalu, beberapa Ahli Parlimen dilihat bersikap biadap dan tidak menghormati bacaan al-Fatihah serta tafakur bagi mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Beberapa wakil rakyat DAP bertindak mengganggu serta menjerit ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membacakan Al-Fatihah kepada semua mangsa Covid-19 pada sidang khas berkenaan. – Malaysiapost

Komen