Ingkar SOP: 41 premis diarah tutup, 248 individu dikompaun

Ingkar SOP: 41 premis diarah tutup, 248 individu dikompaun

SEBANYAK 41 premis diarahkan tutup serta-merta semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,634 kilang, 14,687 premis perniagaan, 833 tapak pembinaan dan 260 asrama penempatan pekerja.

Katanya, pada masa sama seramai 248 individu dikompaun manakala 25 lagi direman atas kesalahan ingkar SOP.

“Kesemua tindakan itu diambil susulan operasi penguatkuasaan melibatkan 19,004 anggota Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.

“Selain itu, 90,155 pemeriksaan dan snap check Covid-19 telah dilaksanakan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan Operasi BENTENG (Op BENTENG) telah membuat tangkapan terhadap 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat, semalam. – Malaysiapost

Komen