‘Kata orang kuasa ni macam candu’ – Ahmad Shabery

‘Kata orang kuasa ni macam candu’ – Ahmad Shabery

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat mempunyai beberapa pilihan selepas Umno mengumumkan penarikan sokongan semalam, termasuk mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri sehingga Parlimen bersidang September ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pilihan berkenaan mungkin akan diketahui selepas sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara hari ini.

“Pagi Rabu biasanya Perdana Menteri (PM) mengadap Agong di Istana Negara. Jadual rutin sebelum mesyuarat Kabinet jam 9.30 pagi di Putrajaya. PM akan maklumkan perkara-perkara penting urusan kerajaan.

“Ramai yang menjangkakan kalau ada pengadapan hari ini bukan hanya berlegar soal urusan kerajaan sahaja, tetapi juga soal keabsahan seorang PM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, penarikan sokongan Umno bersama sejumlah anggota Parlimen terhadap PM dan kerajaan yang dianggap menderhaka sudah menjadi pengetahuan umum dan ia bermakna PM sudah hilang sokongan majoritinya.

“Setahu saya, beberapa kemungkinan boleh berlaku iaitu PM akur dan mengemukakan perletakan jawatan; PM sembah bubar Parlimen dan mohon jadi PM ‘caretaker’ sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan. Maksimum dua bulan.

“Atau kekal jadi PM sehingga Parlimen bersidang dan pilihan ini dipanggil kerajaan minoriti. Nak panjang hayatnya ialah melengahkan Parlimen supaya tidak ada sebarang pengundian berlaku.

“Macam baru ini. Sepatutnya Parlimen bersidang 5 hari. Tapi bila ada permintaan mengundi, hari keempat ditangguh walaupun agenda belum selesai,” katanya.

Beliau berkata, Parlimen katanya hanya akan dibuka semula September nanti, namun ia juga belum ada kepastian akan bersidang.

“Kata orang kuasa ni macam candu. Kalau dah ketagih susah nak buang. Apa pun akan dibuat asal dapat candu. Tak kisahlah apa pun orang kata. Candu memang mengasyikan,” katanya. – Malaysiapost

Komen