Kenyataan PM kerajaan masih ada majoriti tidak benar – Zahid

Kenyataan PM kerajaan masih ada majoriti tidak benar – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini yang mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.

Ahmad Zahid berkata sebelum ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong.

Namun katanya, beliau telah mempersembahkan warkah melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lalu bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu.

“Setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos 2021, bagi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno telah bertambah lagi.

“Hari ini saya telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berkata Umno mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen untuk membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga September.

Tengah hari tadi, Muhyiddin berkata beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan lapan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka menarik sokongan kepadanya.

Bagaimanapun Muhyiddin menegaskan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Ini kerana, beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti. – Malaysiapost

Komen