Olimpik: Azizulhasni, Shah Firdaus tempah tiket ke pusingan ketiga

Olimpik: Azizulhasni, Shah Firdaus tempah tiket ke pusingan ketiga

DUA pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus melayakkan diri ke pusingan ketiga acara pecut individu lelaki pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo hari ini.

Kedua-dua pelumba itu bagaimanapun terpaksa mengharungi laluan sukar ketika beraksi dalam pusingan repechage selepas tewas di pusingan kedua dalam saingan yang berlangsung di Velodrom Izu.

Azizulhasni, 33, yang lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ mempamerkan aksi bertenaga dan berjaya menewaskan pelumba Kanada, Nick Wammes.

Muhammad Shah Firdaus, 25, yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik pula terpaksa beraksi dua kali dalam pusingan repechage selepas terlanggar lawannya, Patryk Rajkowski sehingga menyebabkan pelumba Poland itu terjatuh.

Namun, ia tidak menghalang Muhammad Shah Firdaus mengungguli Saringan 2 dengan mengenepikan cabaran Hugo Barrette (Kanada) dan Mateusz Rudyk (Poland) dan menempah slot ke pusingan ketiga yang dijadual berlangsung, esok.

Azizulhasni akan berdepan wakil Belanda, Jeffrey Hoogland pada aksi pusingan ketiga manakala Shah Firdaus pula bakal berdepan lawan dari negara sama, Harrie Lavreysen. – Malaysiapost

Komen