PPV bergerak MAIWP sasar 7,500 penerima vaksin Covid-19

PPV bergerak MAIWP sasar 7,500 penerima vaksin Covid-19

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan memberi suntikan vaksin kepada 7,500 penerima menerusi pelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergeraknya yang bermula hari ini hingga 12 September. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri berkata dengan kadar vaksinasi harian menghampiri 500,000 dos sehari, negara bakal mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.  

“PPV Bergerak ini akan beroperasi di empat lokasi di ibu kota yang juga berhampiran dengan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR). 

“Lokasi tersebut ialah Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Dewan Serbaguna Air Panas Setiawangsa, Dewan Serbaguna Taman Maluri dan Pusat Komuniti Sri Petaling,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Terdahulu, Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, inisiatif PPV Bergerak itu bertujuan membantu kerajaan mempercepatkan imuniti kelompok bagi mencegah penularan Covid-19. 

Katanya, sasaran utama adalah golongan asnaf penerima bantuan Baitulmal MAIWP yang belum menerima tarikh janji temu di MySejahtera. 

“Kami cuba untuk menjadi pemudah cara dan mendekatkan lagi proses vaksinasi dengan masyarakat sedekat yang mungkin, terutama buat mereka yang uzur dan tua. 

“Ada dalam kalangan masyarakat kita yang rasa susah dan jauh (untuk terima vaksin), jadi bila ada tawaran yang dekat dengan tempat tinggal, mereka terpanggil untuk datang,” katanya hari ini. – Malaysiapost

Komen