Selebriti disyaki terbabit permerdagangan manusia dibebas dengan jaminan polis

Selebriti disyaki terbabit permerdagangan manusia dibebas dengan jaminan polis

SELEBRITI lelaki yang ditahan Ahad lalu kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak.

“Kami dah bagi jamin semalam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro yang memetik Bernama.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani memaklumkan seorang pelawak lelaki terkenal berusia 40-an ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah, kerana dipercayai terbabit kes pemerdagangan manusia membabitkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks.

Susulan itu, polis menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan). – Malaysiapost

Komen