Seri Paduka Baginda zahir ucapan tahniah kepada Soh Chin Ann

Seri Paduka Baginda zahir ucapan tahniah kepada Soh Chin Ann

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Soh Chin Ann yang dinobatkan sebagai pemain dengan penampilan antarabangsa terbanyak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Legenda bola sepak negara itu menghimpunkan 195 penampilan sepanjang 15 tahun menyarung jersi Malaysia.

Dalam hantaran di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berbangga dengan pencapaian itu dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pencapaian Datuk Soh Chin Ann ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang turut mengumumkan tiga lagi legenda negara diisytiharkan sebagai ahli terbaru Kelab Abad FIFA menerusi kemas kini yang dilakukan untuk keanggotaan kelab terbabit.

Selain Chin Ann, Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh adalah anggota terbaru dari Malaysia yang menyertai senarai berprestij itu berasaskan statistik rasmi FIFA dengan kerjasama RSSSF.

Walaupun penampilan keseluruhan Chin Ann dicatat oleh FAM sebagai 252 penampilan, FIFA mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak jati Melaka itu.

Antara nama besar lain dalam senarai 10 terbaik ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).

Antara legenda bola sepak negara yang turut tersenarai ialah Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan Mendiang Datuk R. Arumugam (131). – Malaysiapost

Komen