Usul undi percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen bulan depan

Usul undi percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen bulan depan

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang pada September.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam perutusan khas sebentar tadi.

Muhyiddin melahirkan rasa syukur kerana Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan itu.

“Sementara itu, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

“Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen