Beri ruang kerajaan tangani Covid-19 – PVATM
KERAJAAN yang sah ketika ini perlu diberi ruang untuk meneruskan usaha menangani masalah Covid-19 tanpa ada cubaan bagi menjatuhkan atau mengambil alih kuasa.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharudin Omar berkata ahli politik pembangkang juga perlu bekerjasama menyumbang idea dan mencari titik persamaan bagi mendahulukan kepentingan negara.
“Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam yang tidak teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan baginda sekarang perlu dipandang serius semua pihak.
“Ahli-ahli politik bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara perlu menjadikan titah itu sebagai pedoman dan sedar tanggungjawab yang dipikul sebagai wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharudin berkata, sepatutnya apa yang lebih penting adalah memikirkan kebajikan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ketika ini, soal paling penting adalah memikirkan tentang kebajikan rakyat dan kedudukan ekonomi.
“Bukannya membuat percaturan politik bagi mengambil alih kuasa sebagai kerajaan,” katanya. – Malaysiapost