Muhyiddin buat akujanji PRU15 selewat-lewatnya Julai tahun depan

Muhyiddin buat akujanji PRU15 selewat-lewatnya Julai tahun depan

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa.

Perdana Menteri berkata, dalam situasi semasa ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk
memilih kerajaan baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

Justeru, katanya, bergantung kepada situasi pandemik, beliau membuat akujanji bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya pada hujung Julai tahun hadapan.

Beliau menjelaskan, tujuannya mengemukakan cadangan itu ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

“Pada masa sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.

“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan.

“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Muhyiddin berkata, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan
negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen