Muhyiddin menyanggah kuasa Agong
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menyanggah kuasa Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurutnya, kenyataan Muhyiddin yang mendakwa tiada seorang Ahli Parlimen lain boleh membuktikan dirinya mendapat sokongan majoriti menjadi Perdana Menteri juga bertentangan dengan prinsip Perlembagaan.
“Kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang mendakwa tiada seorang Ahli Parlimen lain boleh membuktikan dia mendapat sokongan majoriti jelas menyanggah kuasa Yang di-Pertuan Agong bahkan bertentangan dengan prinsip Perlembagaan seperti yang dinyatakan,” katanya di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, kenyataan terbuka Muhyiddin bahawa dirinya kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen telah mengundang pelbagai implikasi.
“PM secara terbuka akui tiada majoriti. Apa Implikasinya? Pertama, menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, beliau wajib letak jawatan.
“Kedua, menurut Perkara 40 (2) pula, kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong.
“Ketiga, menurut Perkara 43 (2), Yang di-Pertuan Agong berhak melantik Perdana Menteri menurut hemat baginda mempunyai sokongan majoriti,” ujarnya.
Bagaimanapun, Asyraf menyokong cadangan Muhyiddin untuk membentuk kerajaan yang bersifat inklusif, melibatkan semua parti-parti politik untuk menangani Covid-19.
“Demi kesejahteraan rakyat amat baik dan wajar disokong, cumanya bukan lagi diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin yang telah pun hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri apabila tiada lagi majoriti sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost