Muhyiddin ‘rayu’ sokongan pembangkang untuk undi percaya di Parlimen

Muhyiddin ‘rayu’ sokongan pembangkang untuk undi percaya di Parlimen

Najamuddin Mohd Nor

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak langsung hari ini telah memberi isyarat yang beliau telah kehilangan majoriti di Parlimen apabila “merayu” sokongan Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk mempertahankan kerajaan pimpinannya.

Dalam ucapan perutusan khasnya petang tadi, Muhyiddin mengakui keabsahannya sebagai Perdana Menteri menjadi persoalan apabila sebahagian Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini menyokongnya menarik kembali sokongan.

Oleh itu katanya, jemaah Kabinet dan para pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) sedia mengadakan rundingan dengan semua parti pembangkang termasuk Umno. 

Katanya, tindakan ini bukan untuk kepentingan peribadi dirinya dan rakan-rakan dalam Kerajaan PN, sebaliknya demi kebaikan rakyat dan negara yang sedang berhadapan dengan wabak Covid-19 ketika ini 

“Kami telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. 

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat. 

“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat,” katanya dalam ucapan khas, hari ini. 

Sebelum ini 14 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan daripada terus menyokong Perdana Menteri dan kerajaan PN.

Keputusan itu diambil selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan kerajaan PN.

Umno juga menggesa Muhyiddin supaya berundur secara terhormat selepas hilang sokongan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif. 

Katanya, ianya lebih stabil dengan dokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh. 

“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik. Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah. 

“Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat. 

“Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen