Pembangkang boleh terima, letak jawatan PM dahulu – Mahfuz

Pembangkang boleh terima, letak jawatan PM dahulu – Mahfuz

TINDAKAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak pembangkang dengan ‘tawaran istimewa’ untuk menyokong undi percaya terhadapnya adalah satu bentuk ‘sheme of things’ yang baharu.

Malah, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfoz Omar berkata, tindakan Muhyiddin secara terbuka itu hanyalah untuk melembutkan hati Ahli Parlimen pembangkang untuk memberi sokongan terhadapnya yang terdesak susulan kehilangan majoriti sokongan.

“Ingat Mahiadin umum pakej rangsangan ekonomi yang baru. Rupanya pakej untuk lembutkan pembangkang dengan ‘scheme of things’ baru,” ciapnya di Twitter, hari ini.

Naib Presiden Amanah itu menyindir tindakan Muhyiddin itu boleh diterima pembangkang, namun mestilah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri terlebih dahulu.

“Saya setuju cadangan Ketua Pembangkang bertaraf menteri dengan segala kemudahan. Ok Mahiadin dah boleh letak jawatan PM dan ambil alih jawatan Ketua Pembangkang taraf menteri itu,” katanya.

Dalam ucapan khas hari ini, Muhyiddin menyatakan bahawa Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.

Menurutnya, perkara itu dibuat sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat.

Perkara tersebut adalah merupakan sebahagian daripada tujuh cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya kepada Perdana Menteri berjaya diluluskan secara bi-partisan di Dewan Rakyat dengan majoriti melebihi 2/3 Ahli Parlimen.

Antara cadangan-cadangan lain yang dinyatakan dalam sidang media hari ini adalah semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik. – Malaysiapost

Komen