PN sepakat runding dengan parti lain luluskan usul undi percaya PM

PN sepakat runding dengan parti lain luluskan usul undi percaya PM

SEMUA anggota Kabinet serta pimpinan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti lain untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.  

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia akan membolehkan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa sesuai diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.  

Katanya, usul undi percaya itu hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat. 

“Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan lebih stabil dan inklusif.  

“Stabil dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.  

“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah,” katanya dalam sidang media khas hari ini. 

Sehubungan itu Muhyiddin berkata kerajaan memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.  

“Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara 

dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen