Umno tidak layan tawaran PM tiada keabsahan

UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang Perdana Menteri yang sudah tiada keabsahannya, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah Presiden Umno itu menegaskan, kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan khas hari ini bersifat sogokan rasuah yang terdesak untuk mengekalkan kuasanya.

“Apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyindir Muhyiddin kerana akhirnya secara tidak langsung mengakui tidak memiliki sokongan majoriti untuk mengekalkannya sebagai Perdana Menteri.

“Umno mengucapkan penghargaan atas pengakuan YB Pagoh yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Dengan pengakuan ini, maka YB Pagoh sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, selaku Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Muhyiddin tidak wajar merampas kuasa Yang di Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.

“Umno menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

“Umno merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen Umno yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights