SEBUAH ambulans yang dalam perjalanan mengambil pesakit Covid-19 terbabas ke dalam longkang di Jalan Tambun, Ipoh, malam tadi.
Nahas berlaku ketika ambulans dipandu lelaki berusia 55 tahun itu dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh ke Kampung Melayu Batu 8, Hulu Kinta.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata ambulans dinaiki dua kakitangan Klinik Tanjung Rambutan itu dalam perjalanan untuk mengambil pesakit Covid-19.
Beliau berkata, pesakit tersebut sepatutnya akan dihantar ke Hospital Sungai Siput.
“Kenderaan itu bagaimanapun hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Menurut beliau, kemalangan itu bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain mahupun kerosakan harta awam di tepi jalan.
Katanya, pemandu ambulans tidak mengalami kecederaan manakala pembantu perubatan berusia 40 tahun mengalami sakit di bahagian pinggang.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat gagal mengawal kenderaan hingga terbabas sendiri. Kejadian berlaku ketika hujan dan jalan basah.
“Ambulans tersebut telah dinyahkuman dan ditarik balik ke klinik Tanjung Ranbutan. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya. – Malaysiapost