KETIKA seluruh dunia sedang bergelut memerangi Covid-19, kini Afrika Barat dilaporkan diserang virus dikenali sebagai Marburg yang pertama kali di kesan di Guinea.
Menerusi kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Marburg mirip virus Ebola iaitu salah satu virus yang cukup berbahaya dan boleh membunuh manusia.
Virus Marburg bukanlah sejenis virus yang baru yang ditemui di dunia sebaliknya ia telah wujud sejak 1960-an di mana virus ini pertama kali menyerang pekerja makmal di Jerman.
Virus itu dilaporkan tersebar menerusi kontak dengan seekor monyet yang dibawa dari Uganda. Monyet itu dikatakan sebagai pembawa virus tersebut.
Marburg merupakan patogen yang sangat berbahaya dan bahagian daripada filovirus ini turut dikenali sebagai Ebola.
Bagaimanapun penularan virus ini terhadap manusia berbeza dengan Covid-19 kerana ia boleh menular melalui cecair tubuh manusia atau darah.
Ia memerlukan dua hingga 21 hari bagi virus ini untuk menunjukkan gejalanya pada manusia.
Biasanya seseorang yang dijangkiti akan mengalami demam panas secara tiba-tiba, sakit kepala, sakit sendi, muntah dan cirit-birit.
Gejala ini sebenarnya sukar dibezakan dengan penyakit lain seperti tipus atau malaria.
Pada hari kelima atau ketujuh selepas terdedah kepada virus itu, seseorang boleh mengalami pendarahan ketika muntah, menerusi najis, hidung, gusi dan kemaluan.
Bagi kes yang teruk, pesakit boleh meninggal dunia pada hari kelapan dan kesembilan selepas gejala awal muncul.
Meskipun sangat berbahaya, sehingga kini belum ada vaksin atau perawatan anti-virus untuk penyakit ini. Namun, rehidrasi dengan teknik intravena boleh meningkatkan jangka hayat pesakit. – Malaysiapost