Dua kes keracunan akibat pengambilan Ivermectin

PUSAT Racun Negara telah mula menerima kes keracunan Ivermectin kebelakangan ini.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan kes pertama melibatkan pengguna berumur 35 tahun yang mengambil sebiji Ivermectin.

“Akibatnya, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut Pusat Racun Negara, kes kedua pula melibatkan seorang warga emas dijumpai tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekali gus.

Kata kenyataan itu lagi, setakat ini, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

“Namun, didapati terdapat aktiviti penjualan ubat ini secara tidak sah sedang berlaku. Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.

“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening.

“Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian. Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini.

“Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights