Fedtri terkejut dipilih terima Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah

PENGACARA dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya tidak menyangka menjadi antara penerima anugerah sempena sambutan Maal Hijrah 1443 peringkat Wilayah Persekutuan, Selasa lalu.

Ahmad Fedtri yang terkenal dengan susunan kata-kata bermakna itu menerima Anugerah Khas Tokoh Kategori Pendakwah Kreatif 1443H (2021M).

“Ya Allah terkejut sangat dan pada masa sama bersyukur atas penghargaan ini.

“Kejayaan ini sebenarnya atas kerjasama pasukan yang hebat di Media prima dalam menghasilkan karya indah seperti Jejak Rasul.

“Juga buat pasukan hebat dalam menghasilkan lagu-lagu berjiwa besar. Tidak lupa pasukan yang berjuang untuk menghasilkan buku-buku bermakna. Biar kecil tetapi itsiqamah, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Difahamkan, Ahmad Fedtri diberikan penganugerahan tersebut berdasarkan karyanya melalui program televisyen, lirik lagu dan penulisan beberapa buku.

Dalam pada itu, Fedtri juga mengucapkan terima kasih pada rakan sekerja, sahabat baik serta keluarganya.

“Terima kasih rakan sekerja, sahabat-sahabat sejati dan penyokong yang sentiasa memberi kata semangat. Istimewa buat keluarga, isteri dan anak-anak tercinta yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi,” ujarnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights