Ikut Perlembagaan untuk elak krisis politik

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

HASIL tulisan saya semalam bertajuk ‘Setelah PM Hilang Majoriti, Apa Seterusnya’ telah mendapat beberapa komen dan pertanyaan. Tulisan ini menjawab komen dan pertanyaan tersebut.

Tanpa undi di Parlimen, bagaimana hendak sahkan Perdana Menteri (PM) hilang majoriti? PM boleh hilang majoriti di Parlimen dengan dua cara. Pertama, undi tidak percaya di Dewan. Tetapi ini tidak berlaku kerana kerajaan tidak bersetuju usul ini dibahaskan biarpun didesak oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Kedua, dengan cara membuktikan kepada Agong bahawa PM telah hilang sokongan majoriti. Ini boleh dibuktikan dengan cara akuan bersumpah (SD) atau baginda memanggil setiap Ahli Parlimen untuk menzahirkan sokongan masing-masing. Dalam kes politik Perak 2009, mahkamah persekutuan yang diwakili oleh panel lima hakim memutuskan “Tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri yang memerlukan undi tidak percaya dijalankan di dalam Dewan Undangan Negeri.” Ini bermakna undi tidak percaya boleh dilakukan di dalam atau di luar Dewan.

Dalam kes PM kita, ada dua lagi bukti tambahan untuk menunjukkan beliau telah hilang majoriti. Pertama, surat speaker kepada Agong dan dalam sidang media kelmarin, PM sendiri mengaku tidak lagi mempunyai majoriti.

Bagaimana dengan kedudukan Kabinet apabila PM letak jawatan? Secara automatik Kabinet bubar dan Agong akan melantik PM baharu yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan (Perkara 43(2)(a)).

Siapa Agong hendak pilih sebagai PM baharu jika Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) meletakkan jawatan? Perkara 43(2)(a) menyatakan ini adalah tugas baginda Agong yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Siapa orangnya yang hendak dilantik adalah atas kebijaksanaan baginda Agong dengan syarat: seorang ahli Dewan Rakyat dan warganegara melalui kuatkuasa undang-undang.

PM melanggar sempadan kuasa Agong apabila beliau mengatakan tidak ada sesiapa yang ada majoriti, maka tidak boleh melantik PM baharu. Lihat Perkara 40(2)(a): Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melantik seorang Perdana Menteri; dan baca bersama dengan Perkara 43(2)(a)).

Bagaimana PM hilang majoriti sedangkan pembangkang tiada majoriti untuk menamakan PM? Sejak bila pula dalam Perlembagaan menyatakan PM hanya boleh meletakkan jawatan setelah ada bakal PM dengan majoriti? Soal majoriti ditentukan dengan cara (2) dan (3) di atas.

Bolehkah tubuh kerajaan minoriti? Tidak boleh menubuhkan kerajaan minoriti tanpa PM mempunyai keyakinan majoriti ahli Parlimen.

Tubuh kerajaan perpaduan? Boleh, tetapi setelah proses Perkara 43(4) selesai.

PM kata masih ada majoriti dan tunggulah sehingga undi percaya di Parlimen. Jika ada majoriti mengapa tidak mempercepatkan undi di Parlimen. Inilah yang membawa kepada dakwaan akan berlakunya horse trading—sesuatu yang tidak baik untuk institusi Parlimen kita dan demokrasi.

Apa yang perlu PM buat sekarang? Setelah membuat sidang media kelmarin, langkah terhormat yang perlu dibuat ialah mengadap Agong dan menyembah maklum kedudukan kerusi sekarang. Elakkan krisis Perlembagaan.

PM tidak meletakkan jawatan kerana mahu menyelesaikan masalah pandemik. Pandemik bukan alasan untuk bertahan setelah hilang majoriti.

PM kita terbaik kerana kelmarin mengumumkan pakej reform dalam kerjasama rentas parti yang dicadangkan. Sesiapapun yang memerintah wajib melaksanakan reform yang disebut PM kelmarin. Reform itu untuk negara, bukan untuk kekalkan kuasa.

Tulisan ini bukan analisis politik, tetapi jawapan saya kepada pertanyaan dan komen kawan-kawan dalam posting saya semalam. Terima kasih.


Penulis ialah penganalisis politik serta pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights