PENYELESAIAN kemelut politik negara hanya dapat dicapai dengan kembali kepada asas iaitu parti politik Melayu dan Bumiputera bertaut kembali serta jangan berpecah-belah.
Perkara itu disarankan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa susulan krisis politik negara yang menyaksikan Perdana Menteri semalam mencadangkan persefahaman rentas parti untuk membentuk kerajaan bipartisan.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata dalam sebuah negara majoriti Melayu dan Bumiputera, kestabilan hanya wujud apabila politik orang Melayu dan Bumiputera itu sendiri padu dan stabil.
“Bukan rahsia lagi bahawa kemelut politik masa kini tercetus apabila salah sebuah dari parti utama orang Melayu dan Bumiputera berusaha menarik keluar dari gabungan baru PN-BN-GPS (Perikatan Nasional – Barisan Nasional – Gabungan Parti Sarawak).
“(Ketiga-tiga gabungan) sebelum ini menjadi paksi utama keseimbangan “coalition politics” negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Annuar yang juga bekas Setiusaha Agung BN berkata penarikan balik sokongan kepada Perdana Menteri oleh lapan Ahli Parlimen Umno telah digunakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dakwanya, ia untuk memaksa Majlis Kerja tertinggi (MKT) Umno menyokong tindakan beliau dan dijadikan keputusan parti.
“Dengan demikian, DSAZH (Ahmad Zahid) berjaya menarik tujuh lagi Ahli Parlimen yang mudah ketakutan kononnya keputusan parti, menjadikan kesemuanya 15 orang. Pendapat dalam BN berpecah dua… 15 vs 27.
“Ketidakstabilan bagi kerajaan yang selama ini pun terbentuk dengan hanya dua atau tiga kerusi majoriti sememangnya mudah diancam.
“Namun persoalannya apakah harga yang perlu dibayar akibat ketidakstabilan ini? Apakah rakyat merestui perbuatan ini? Apakah ia membawa kepada keadaan lebih baik atau lebih memporakperandakan politik negara dan nasib rakyat.
“Ketidakstabilan ini hanya boleh dicapai dengan kembali kepada asas iaitu parti politik Melayu dan Bumiputera bertaut kembali serta jangan berpecah-belah,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta semua pemimpin ketepikan dendam dan politik peribadi, sebaliknya mendahulukan kekuatan ummah dengan orang Melayu dan Bumiputera menjadi teras dan tiang seri politik negara. – Malaysiapost