Kes tembak TUDM: TPM ucap takziah

KEMENTERIAN Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat terkesan serta berduka cita dengan pemergian empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam insiden tembakan di Skuadron 330, Kota Samarahan, semalam.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada waris semua perajurit negara yang terbabit.

Mereka yang meninggal dunia dalam insiden itu ialah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat; Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli; Koperal Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Kanan (LUK) Nesly Anak Nabau.

“Saya doakan semoga seluruh keluarga mangsa yang terlibat tabah menghadapi situasi sukar ini.

“ATM melalui Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad telah mengambil inisiatif menyantuni keluarga mangsa di Sarawak dan menyampaikan sumbangan kebajikan sewajarnya kepada kesemua waris mangsa yang terlibat.

“TUDM juga telah menguruskan semua urusan berkaitan pengkebumian jenazah termasuk urusan kebajikan waris perajurit terlibat,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Sambil berharap ahli keluarga masing-masing tabah menghadapi situasi ini, beliau menyifatkan pemergian empat perajurit itu adalah kehilangan besar kepada ATM dan TUDM khususnya.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa dan sumbangan perajurit-perajurit tersebut sepanjang dalam perkhidmatan.

“Saya berharap tiada sebarang spekulasi dan penyebaran berita tidak benar berhubung kejadian ini sehingga selesai siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjaga sensitiviti serta nama baik ahli keluarga.

“TUDM juga telah menubuhkan lembaga siasatan dalaman untuk menyiasat kejadian yang berlaku,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights