KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan libat urus serta kajian kos, harga dan bekalan kit ujian kendiri Covid-19 dengan syarikat yang dilesenkan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia membabitkan setiap rantaian pengedaran, pembekalan sehingga peringkat runcit seperti farmasi dan klinik.
Menurutnya, kajian bertujuan menentukan harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 tidak membebankan pengguna.
Katanya, kit ujian itu kini menjadi keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak Covid-19.
“Saya mengambil maklum isu harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran buat masa ini.
“Saya sudah arahkan KPDNHEP bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti situasi ini dan mengurus isu harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 sebaik mungkin demi kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexander berkata, KPDNHEP dalam masa sama menyarankan pengguna lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran.
Tambahnya, pengguna boleh membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ untuk merujuk senarai syarikat mendapat kelulusan pihak itu mengedar dan menjual kit ujian Covid-19 untuk kegunaan awam. – Malaysiapost