Lima lelaki ditangkap langgar SOP potong kek guna pedang samurai

POLIS menahan beberapa suspek anggota geng jenayah setelah video mereka meraikan ulang tahun di sebuah rumah tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, polis dimaklumkan mengenai video berdurasi 30 saat pada Rabu lalu yang memaparkan sekumpulan lelaki memotong kek dengan pedang samurai.

Katanya, pasukan polis pada hari sama telah membuat tangkapan di tiga kawasan berbeza, lapor The Star.

Nurulhuda menjelaskan, suspek berusia antara 17 dan 24 tahun dan tiga daripada lima individu itu mempunyai rekod polis dalam kes rompakan bersenjata dan rompakan berkumpulan.

Semua suspek kemudian direman hingga Jumaat dan polis sedang menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Peguam Negara.

Terdahulu, tular video berkenaan yang turut memaparkan logo dan tanda-tanda jelas kelihatan dan ia dipercayai ada kaitan dengan Geng 08.

“Video itu dipercayai dirakam di sebuah rumah di Batu 10, Jalan Kapar. Ia juga menunjukkan bahawa mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights