AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengambil pendirian bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menolak keras segala tawaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, tawaran politik yang dibuat Perdana Menteri bermakna menghalalkan politik wang untuk kekal berkuasa.
“Anehnya beliau mengutarakan beberapa agenda reformasi sedangkan agenda paling penting bagi reformasi politik ialah menghapus politik wang.
“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau,” katanya dalam kenyataan.
Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Bebas berkata, Muhyiddin telah mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang dan menawarkan rasuah secara terbuka dalam siaran langsung di hadapan seluruh rakyat.
Katanya, setelah diberi peluang oleh Yang di Pertuan Agong lebih setahun, Muhyiddin tetap gagal mendapat sokongan majoriti sehingga terpaksa menawar sogokan secara terbuka.
Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata berdasarkan keadaan pendidikan negara setelah lebih setahun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, dikhuatiri pendidikan pelajar dan siswa pengajian tinggi akan bertambah teruk dan rosak.
“Demi menyelamatkan pendidikan dan masa depan anak-anak bangsa, saya memilih untuk tidak memberikan lagi peluang kepada kerajaan yang gagal ini untuk terus berkuasa dan merosakkan sektor pendidikan.
“Saya bersama PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat Covid-19,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin PH dan parti pembangkang lain mampu mengemukakan perancangan lebih baik, terutama untuk menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan pendidikan yang dipinggirkan kerajaan PN serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian. – Malaysiapost